09:43
0

Ayam Batang Kaki.

Ayam laga@sabung atau juga dikenali sebagai ayam baka baik merupakan sejenis ayam kampung yang memiliki ciri-ciri tertentu yang mana ia lazimnya digunakan untuk aktiviti pertandingan laga ayam. Kebiasaannya ayam laga memiliki ciri-ciri seperti saiz badannya yang agak besar & berotot, tinggi, tegap, garang, tahan lasak dan mempunyai sifat untuk bertarung sampai mati. Ia juga memiliki sisik kaki yang besar, leher yang jinjang, balung berbentuk seperti batu, belimbing dan sebagainya. Disamping itu, ia juga rajin berkokok dan memiliki suara yang kuat dan garau. Sebenarnya, terdapat pelbagai jenis atau variasi ayam laga. Nama-nama variasi ini pula kebanyakannya diberikan oleh para pembiak ayam tersebut dan juga para peminat ayam sabung. Sebahagiannya pula diambil berdasarkan corak warna, bentuk fizikal, kepahlawanan, keturunan atau negara asalnya. Antara variasi yang paling popular diMalaysia khususnya dipantai timur adalah seperti ayam Siam/Bangkok (Thailand), Burma, Brazil, Pama (Thai mix Burma), Saigon/Ganoi (Vietnam), Pakoy (Vietnam mix Brazil), Magon (Pama mix Saigon), Pakhoe (kacukan antara ayam Siam, Burma, Saigon & Brazil), Sitam, Rinting, Ekor Serai, Ekor Panjang, Ratu dan bermacam-macam lagi. DiMalaysia, terdapat 2 kategori ayam laga yang paling popular iaitu "ayam batang kaki" dan "ayam hujung".

AYAM BATANG KAKI
Ayam batang kaki bermaksud ayam laga yang menggunakan kekuatan kakinya semata-mata untuk beradu tenaga bagi mengalahkan lawannya. Teknik berlaga ayam jenis ini lebih kepada kekuatan pukulan kakinya. Antara sasarannya yang boleh membawa maut serta-merta adalah dibahagian leher yang mana lawannya itu boleh mengalami gejala kepatahan tulang leher akibat kekuatan pukulan kakinya. Ayam jenis ini menjadi pilihan bagi kebanyakan peminat ayam laga diMalaysia berbanding ayam hujung. Mungkin atas faktor kegagahan dan kekuatan pukulan ayam tersebut yang menjadi daya tarikan berbanding ketangkasan tikaman ayam hujung. Risiko kecederaan bagi ayam jenis ini juga mungkin lebih minimum dan lebih mudah untuk dirawat. Disamping itu, risiko kematian yang menyumbang kepada kerugian modal keatas harga ayam yang dibeli juga mungkin lebih rendah dan menjadi faktor penyebab mengapa ayam jenis ini lebih diminati berbanding ayam hujung.

AYAM HUJUNG
Ayam hujung bermaksud ayam laga yang menggunakan taji asal, taji buatan atau peralatan lain seperti tanduk kambing yang diubahsuai dan sebagainya yang dipasangkan pada taji atau susuhnya untuk bertarung. Teknik berlaga ayam jenis ini lebih bercorak kepada ketepatan tikaman. Antara sasarannya yang boleh membawa maut adalah tikaman pada urat leher atau saluran pernafasan lawannya. Lazimnya lawannya itu akan mengalami pendarahan yang teruk, kesukaran untuk bernafas dan boleh berakhir dengan kematian serta-merta. Teknik pertarungan ayam jenis ini juga adalah lebih berisiko dan ianya menjurus kepada pertandingan kalah-mati.

Ayam Hujung.

Note: This article contains a street language of Bahasa Malaysia. Translation to other language may not accurate.


© 2015- Uniaga Aviary. Hakcipta Terpelihara. Sebarang salinan dan penerbitan semula artikel ini samada sebahagian atau keseluruhan, dengan atau tanpa modifikasi dan tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik adalah dilarang sama sekali.

0 comments:

Post a Comment