Disini saya ingin berkongsi cara-cara membuat reban burung khususnya burung merpati dan boleh juga digunakan untuk burung-burung jenis lain seperti Budgie, Cockatiel, Parrot, Lovebird, Tiong Mas, Pipit, Tekukur, Merbuk, Merbah Jambul, Murai Batu, Puyuh, anak-anak ayam, itik, angsa dan sebagainya. Ianya sesuai ditempatkan didalam rumah burung, didalam kedai (bagi yang berniaga haiwan hiasan) atau boleh juga ditempatkan diluar rumah secara sendirian atau "standalone". Konsep yang digunakan adalah reban berbentuk teres mudah alih yang berlantaikan jaring dengan bahagian atap dan kaki/kekuda dibina secara berasingan. Reban ini dibina berasaskan kayu jenis Merawan dan jaring besi bersalut plastik hijau berdiameter 3/4" x 3/4" dengan panjang reban 12 kaki, manakala lebar dan tingginya masing-masing 3 kaki. Ianya dipisahkan menjadi 4 ruang bersaiz 3x3 kaki bagi setiap ruang. Segulung jaring berukuran 50 kaki diperlukan untuk menutup keseluruhan reban kecuali pada bahagian atas atau siling ditutupi dengan menggunakan papan lapis.
LANGKAH PERTAMA: Penyediaan Pelan & Bahan-bahan.
Lakarkan pelan reban diatas kertas terlebih dahulu. Bagi yang berpengetahuan IT, bolehlah menggunakan perisian komputer seperti Autocad dan sebagainya. Ini bagi memudahkan kita menilai jumlah bahan-bahan yang diperlukan dan kos yang terlibat. Senaraikan bahan-bahan tersebut satu persatu.
Contoh peralatan pertukangan:
1. Gergaji kayu
2. Tukul
3. Sesiku
4. Alat pengukur
5. Gunting dawai
6. Alat pelaras (inci air)
7. Berus cat
8. Sarung tangan
9. Pensil
10. Pahat (jika perlu)
Contoh bahan-bahan untuk reban:
1. Tiang 2" x 2" x 3 kaki = 4 batang
2. Kayu 1" x 2" x 12 kaki = 16 batang
3. Papan lapis 3 x 6 kaki = 2 keping
4. Jaring besi 50 kaki = 1 gulung
5. Ensel pintu 2 x 4 pintu = 8 unit
6. Paku saiz 2.5", 2", 1.5", 1.25" dan skru 1.5cm
7. Cat kayu = 1 tin
8. Kayu pengapit (jika perlu)
Contoh bahan-bahan untuk atap reban (jika perlu):
1. Zink industri 7 kaki x 6 keping
2. Kayu 1" x 2" x 15 kaki x 5 batang
3. Paku zink
Contoh bahan-bahan untuk kaki/kekuda (jika perlu):
1. Tiang kayu, batu atau besi dengan ketinggian 2.5-3 kaki 4-6 batang dan kayu atau besi untuk menstabilkan tiang-tiang tersebut. Boleh juga menggunakan batu-bata untuk dijadikan kekuda dan penghadang.
2. Zink industri 12kaki x 2 keping dan 3kaki x 2 keping sebagai penghadang untuk menutupi keseluruhan ruang kekuda tersebut. Selain mencantikkan permandangan, ia juga dapat mengelak tempias air hujan atau hembusan angin daripada terkena najis burung yang akan mengakibatkan pengeluaran bau yang tidak menyenangkan. Selain daripada itu, ia juga boleh menghindarkan haiwan pemangsa seperti kucing, musang dan sebagainya daripada menyerang burung peliharaan terutamanya pada bahagian jari kaki burung daripada arah bawah reban.
LANGKAH KEDUA: Penyediaan Kayu.
Setelah semua bahan diperolehi, pembinaan reban boleh dimulakan dengan memotong kayu mengikut panjang yang diperlukan dan membuat tempat penyambungan (joint/"L" angle) pada setiap hujung kayu tersebut - satu tugas yang paling memenatkan dan memerlukan tumpuan yang rapi serta kemahiran yang tinggi. Sebarang kesilapan boleh menyebabkan kayu tersebut tidak lagi boleh digunakan dan anda perlu menggantikan atau membeli kayu yang baru.
LANGKAH KETIGA: Proses Mengecat.
Setelah siap kesemuanya, proses mengecat boleh dimulakan terutama sekali pada bahagian penyambungannya. Ini bagi memastikan kayu tersebut tahan lebih lama dan kelihatan lebih menarik. Sekiranya anda mengecat selepas pemasangan rangka reban tersebut siap, bahagian penyambungan yang merupakan asas kekuatan reban tersebut tidak dapat dicat dengan sempurna. Ini boleh mengundang anai-anai untuk menyerang kawasan tersebut atau boleh juga menyebabkan pereputan akibat diserapi air ketika anda membasuh reban tersebut atau bilamana terkena tempias air hujan.
LANGKAH KEEMPAT: Pemasangan Rangka.
Setelah cat pada kayu tersebut telah kering, anda boleh memulakan pembinaan rangka utama reban tersebut. Kayu 1"x2"x12 kaki 4 batang disambungkan kepada tiang utama 2"x2"x3 kaki 4 batang. Kemudian barulah anda boleh membina bahagian-bahagian yang lain mengikut spesifikasi rekabentuk reban yang telah anda lakarkan atau inginkan. Sekiranya reban tersebut dibuat untuk burung merpati yang boleh dibiarkan terbang bebas, jarak antara pintu dan lantai haruslah dibuat dengan ketinggian 1 kaki bertujuan untuk mengelakkan anak-anak burung yang belum pandai terbang terjatuh atau keluar dari reban. Pintu-pintu reban pula sebaik-baiknya dibuat pada saat akhir. Ini bagi memastikan saiz pintu bersesuaian dengan saiz rangka bahagian pintu pada reban. Kadang-kadang saiz rangka pintu pada reban boleh berganjak atau berubah sedikit disebabkan proses pemasangan dan pemakuan rangka tersebut yang boleh menyebabkan pintu yang telah siap dibina tidak lagi dapat dimuatkan pada tempatnya. Jadi adalah lebih baik pintu reban dibuat dan dipasangkan kemudian. Selain itu, bahagian pintu juga merupakan proses paling rumit untuk disiapkan.
LANGKAH KELIMA: Pemasangan Para.
Pembinaan para dibuat untuk burung bertenggek dan sebagai tempat tidurnya. Ia juga digunakan untuk menempatkan kotak sarang burung sebagai tempat burung bertelur. Bentuk dan saiz para adalah berbeza mengikut jenis dan saiz burung. Bagi burung merpati, 2 batang kayu bersaiz 1"x2" diperlukan untuk dijadikan para dan 4 batang kayu sepanjang 1 kaki atau lebih sedikit diperlukan sebagai sokongan untuk menggantungkan para tersebut, manakala jarak antara siling dan para adalah 1 kaki. Kreativiti diperlukan bagi membina para yang sesuai, tahan lasak, kemas dan menarik serta tidak mengganggu kebebasan burung untuk bergerak.
LANGKAH KEENAM: Pemasangan Jaring.
Setelah semua rangka-rangka termasuk para untuk burung bertenggek telah siap dibina, barulah kerja-kerja pemasangan jaring dimulakan. Sekiranya pembahagi ruang (partition) dibuat untuk berada kekal pada tempatnya, ianya mestilah dipasang terlebih dahulu sebelum pemasangan jaring dibahagian lain, dan sekiranya pembahagi ruang tersebut dibuat dengan konsep boleh dimasuk dan ditarik keluar (sliding), terpulanglah kepada anda untuk membuatnya pada bila-bila masa yang sesuai kerana ianya tidak mengganggu proses penyiapan reban tersebut. "Sliding partition" dibuat sama sepertimana membuat pintu, cuma anda perlu menggunakan kayu 1"x2" yang lebih nipis atau yang telah diketamkan seperti kayu perabut. Pastikan juga jaring yang dipasang pada reban berada dalam keadaan tegang dan kemas terutama sekali pada bahagian lantainya. Jarak pemakuan juga perlu diambil kira dan paku yang digunakan untuk memasang jaring adalah bersaiz 1.25-1.5 inci. Sekiranya anda menggunakan kayu pengapit, paku yang bersaiz 1 inci sudah memadai.
LANGKAH KETUJUH: Pemasangan Kayu Pengapit.
Sekiranya perlu, anda boleh memasangkan kayu pengapit pada peringkat ini. Kayu pengapit digunakan untuk menguatkan pegangan jaring dan struktur reban serta menambah kecantikkan reban. Walaubagaimanapun, penambahan kayu pengapit akan menyumbang kepada pertambahan berat reban dan mungkin juga agak sukar bagi anda untuk mengangkatnya kemudian.
LANGKAH KELAPAN: Pemasangan Pintu.
Setelah jaring siap dipasang pada reban, barulah anda membina pintu-pintunya mengikut ukuran rangka pintu reban tersebut. Antara faktor-faktor dalam menentukan saiz pintu adalah saiz burung yang ingin dipelihara, saiz bekas air & makanan, saiz kotak sarang burung dan juga fleksibiliti dalam penjagaan burung seperti keupayaan untuk menangkap burung, pemberian makanan & ubat-ubatan, pemantauan anak-anak burung yang baru menetas dan sebagainya. Saiz pintu bagi contoh reban merpati diatas adalah 2 kaki panjang dan 1 kaki lebar. Ada cara mudah untuk membuat pintu dan ada cara susah. Cara mudah adalah dengan membuat penyambungan kayu menggunakan paku "zik-zek" tanpa sebarang pemotongan "L" pada setiap hujung kayu tersebut. Walaubagaimanapun, kekuatan pintu jenis ini agak lemah dan mudah bergoyang dan ianya lebih sesuai sekiranya anda ingin menggunakan kayu pengapit sebagai tambahan kepada pintu tersebut. Cara susah adalah dengan memotong secara "L" bagi setiap hujung kayu tersebut untuk dijadikan sebagai tempat penyambungan. Setelah disilangkan, anda bolehlah memaku dengan 2 paku atau 2 skru pada setiap penyambungan pintu tersebut dan memasang jaringnya. Boleh juga ditambah dengan kayu pengapit untuk kelihatan lebih kemas dan menarik. Harus diingat, dalam menentukan saiz pintu, ruang terbuka antara pintu dan sel pintu dibahagian atas, bawah, kiri dan kanan mestilah tidak kurang dari 0.25 inci bagi setiap sisi, serta saiz dan cara pemasangan ensel pintu juga mestilah betul. Ini bagi memastikan pintu dapat dibuka dan ditutup dengan sempurna. Setelah pemasangan jaring dan ensel pada pintu tersebut siap, barulah dipasangkan pada reban.
LANGKAH KESEMBILAN: Pemasangan Siling.
Ini adalah bahagian terakhir bagi pemasangan utama reban tersebut. Pastikan tiada lagi modifikasi diperlukan pada bahagian dalaman reban. Pemasangan siling menggunakan kayu lapis (plywood) adalah lebih mudah dan murah berbanding penggunaan jaring hijau atau zink rata. Tujuan utamanya adalah untuk mengelak sebarang najis atau air kencing daripada burung, tikus, cicak dan sebagainya jatuh kedalam reban dan terkena pada makanan, air, telur atau burung yang berada didalam reban. Sekiranya anda menggunakan atap daripada jenis zink atau asbestos, ia juga boleh mengelak daripada tikus atau ular memasuki reban melalui atap tersebut dan juga boleh mengelak atau sekurang-kurangnya mengurangkan risiko titisan air hujan daripada jatuh terus keatas telur atau burung peliharaan sekiranya berlaku sebarang kebocoran pada atap reban anda. Selain daripada itu, ia juga boleh mengurangkan tekanan haba ketika cuaca panas. Dari segi pemakuan papan lapis tersebut, saya menggunakan skru bersaiz 1.5cm dan tidak menggunakan paku. Tujuannya adalah untuk memudahkan pencabutan semula sekiranya saya ingin membuat sebarang modifikasi dalaman pada reban tersebut dikemudian hari. Modifikasi dalaman termasuk perubahan saiz dan rekabentuk para mengikut jenis burung yang dipelihara atau sekiranya para yang sediada telah rosak/patah atau pun sekiranya saya ingin merombak pembahagi ruang yang sediada.
LANGKAH KESEPULUH: Pembinaan Kaki/Kekuda (jika perlu).
Pembinaan kaki atau kekuda reban bergantung kepada jenis bahan yang ingin digunakan. Bagi contoh reban diatas, saya menggunakan 6 batang kayu daripada jenis Kulim bersaiz 5" panjang dan 2" lebar dengan ketinggian 5 kaki yang mana 3 kaki berada diatas tanah dan 2 kaki lagi ditanam kedalam tanah. Sebelum ditanam, kayu tersebut disapu dengan minyak silinder terpakai @ minyak hitam terlebih dahulu bagi menambah ketahanan dan mengelakkan anai-anai daripada memakannya. Cara seperti ini tidak memerlukan sebarang kayu penyokong atau palang bagi menguatkan kedudukkan kayu tersebut, walaubagaimanapun, penambahan kayu penyokong adalah lebih baik. Penggunaan pasu bunga juga boleh digunakan sebagai alas atau kaki reban.
LANGKAH KESEBELAS: Pembinaan Atap Reban (jika perlu).
1. Sediakan kayu dan pasangkan rangkanya terlebih dahulu.
2. Pasangkan atap satu persatu. Sekiranya atap tersebut menjadi terlalu berat, anda boleh memisahkan rangka tersebut menjadi 2 atau 3 bahagian. Pemasangan atap boleh dibuat sebelum atau selepas pemasangan rangka atap pada reban. Kalau nak lagi mudah, beli sahaja atap asbestos dan susun terus diatas reban yang telah siap terbina. Jadi anda tidak perlu membuat rangka atap reban dan mungkin juga tidak perlu memakunya sebab atap asbestos sememangnya sudah berat. Untuk mengelak daripada ribut yang mungkin boleh menerbangkan atap tersebut, anda boleh meletakkan kayu yang berat diatasnya. Cara ini lebih cepat, jimat dan mudah, dan ianya lebih senang untuk anda mengalihkan reban anda keposisi atau ketempat lain dikemudian hari. Selain daripada itu, ia juga amat praktikal sekiranya anda berhajat untuk menambah reban tersebut menjadi 2 atau 3 tingkat pada masa akan datang.
SEKIAN DAN SELAMAT MENCUBA!
Artikel ini disediakan kepada anda untuk dijadikan rujukan atau sebagai panduan sahaja dan ianya ditulis berdasarkan pengalaman penulis sendiri. Bagi yang tiada kemahiran untuk membuatnya, tiada masa, malas dan sebagainya, anda bolehlah mengupah seseorang atau melantik mana-mana kontraktor untuk membuatnya.
© 2014- Uniaga Aviary. Hakcipta Terpelihara. Sebarang salinan dan penerbitan semula artikel ini samada sebahagian atau keseluruhan, dengan atau tanpa modifikasi dan tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik adalah dilarang sama sekali.
Best bentuk sarang tempat telurnya untuk mengeram macam mana
ReplyDeleteBuat kotak sarang saiz 1kaki drpd kayu/papan dan letak kat atas para tu.
Deleteboleh tak terangkan kos kesemua bahan?
ReplyDeleteMintak maaf. Nak kena buat survey sendiri tu atau boleh juga lantik tukang/kontraktor. Kos bahan bergantung kepada sumber bahan itu diperolehi termasuk kualiti, kuantiti, lokasi, gst dan macam-macam lagi. Nak senang, tanya kat kedai-kedai kayu & hardware. Nak murah tanya kat kilang tp selalunya nak kena beli dalam kuantiti yang banyak.
ReplyDeleteCantik bro
ReplyDeleteTak jual ke reban ni.. Nak buat tak pandai lah.
ReplyDelete